Tambang Teksi RM 6000?

Tambang Teksi RM 6000?

TAMBANG `cekik darah’ apabila seorang pemandu teksi mengugut penumpang lelaki warga Bangladesh membayar tambang sebanyak RM6,000 bagi perjalanan sejauh kira-kira tujuh kilometer.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang kelmarin, apabila mangsa berusia 41 tahun mahu menggunakan perkhidmatan teksi bagi perjalanan dari Jalan San Peng menuju ke Sunway Putra Mall, di sini.

Menurut sumber polis, mangsa yang bersendirian menahan teksi model Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an untuk ke lokasi berkenaan.

“Ketika dalam perjalanan, mangsa bertanya jumlah tambang perlu dibayar kepada pemandu teksi terbabit selepas mendapati teksi itu tidak menggunakan meter tambang diwajibkan.

“Soalan itu menyebabkan mangsa marah dan memaklumkan tambang keseluruhan yang perlu dibayar adalah RM6,000,” katanya semalam.

Terkejut dengan jumlah tidak munasabah itu, mangsa yang juga ahli perniagaan mempersoalkan bayaran itu sebelum meminta pemandu teksi terbabit memberhentikan kenderaan di tepi jalan.

“Pemandu teksi naik angin sebelum mengeluarkan pisau dan mengugut mangsa supaya membayar kira-kira RM4,500 atau mangsa akan dicederakan nanti.

“Mangsa yang dalam ketakutan menyerahkan bayaran tambang RM3,900 sebelum mangsa dibenarkan keluar dari teksi itu,” katanya.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk tindakan lanjut.

“Kejadian itu adalah kali pertama berlaku terhadap mangsa sepanjang menetap di negara ini sejak beberapa tahun. Kejadian itu menyebabkan mangsa trauma menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan masih dilakukan bagi menjejaki suspek.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *