Masak lemak Cili Api Telur Itik

Teringat zaman kanak kanak dulu, kedua ibubapa banyak membela ayam dan itik. Ada reban ayam dan reban itik di belakang rumah. Ya lah nasi yang tak habis atau hampas kelapa selepas diperah santan, dicampak dari jendela jer. Ayam itik datang berduyun duyun. Tak membazir lah. Bila malas buat kerja rumah, pernah saya masuk menyorok dalam reban ayam. Reban ayam siap ada bumbung, ada tangga dan pintu. Ada dinding kayu lagi. Semua hasil kerja tangan arwah ayahanda saya sendiri. Berbalik pada itik, yang paling seronok bab mengutip telur itik. Kadang kadang itik bertelur luar reban, kena pusing keliling cari telurnya. Telur telur ni selain digoreng, juga dibuat telur jeruk atau orang sini panggil telur masin. Masuk satu batch, ditanda pada telur dengan menggunakan arang kayu api. Masa tu, kami memasak menggunakan dapur kayu. Tiap petang, saya kena cari kayu api untuk dibuat bekalan pada hari hari hujan. Masuk telur batch kedua ditanda dengan tanda lain pula seperti pangkah untuk membezakan antara telur masin yang telah lama dengan yang baru dijeruk.

Bahan bahan:
5 biji telur itik
1 kotak santan kotak
1 keping asam keping
Garam
Gula

Bahan Kisar:
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
1 tangkai cili hijau
1 tangkai cili padi merah
6 tangkai cili padi
8 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih

Cara cara:
Kisar semua bahan dan tuang ke dalam periuk. Masak hingga bahan kisar agak masak. Masukkan santan cair. Sambil terus dikacau, besarkan api sehingga kuah mendidih.

Masukkan telur sebiji demi sebiji. Jika cekap, pecahkan telur dengan sudu dan terus pecahkan ke dalam kuah yang sedang mendidih. Tapi kena pastikan telur segar dan elok.

Masak Lemak Telur Itik Yang Sedap dan Cantik

Masukkan asam keping, garam dan gula, jika suka. Akhir sekali, masukkan santan pekat. Selepas dimasukkan santan pekat, masak sekejap sahaja supaya kuah tidak pecah minyak. Bolehlah tutup api.

Nota:
Kuah masak lemak telur itik mestilah pekat baru sedap.

sumber : azie kitchen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *