Autism – Kenal Pasti Karakter Anak Anda

Autism berasal daripada perkataan bahasa Greek iaitu ‘autos’ yang bermaksud sendiri iaitu merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya sendiri. Dari sudut perubatan, autistik ialah keadaan interaksi sosial seseorang terganggu akibat masalah kemahiran berkomunikasi, tingkah laku tidak wajar yang berulang, menyendiri serta mempunyai keiinginan terhad kepada sesuatu benda.

Anak autistik tidak dapat dikenal pasti melalui fizikal. Mereka hanya boleh dikenal pasti melalui pemerhatian ke atas tingkah lakunya. Bagi orang yang tidak ada pengetahuan atau pendedahan mengenai ciri-ciri autistik agak sukar bagi mereka untuk mengenalpasti atau mengesannya.

Karekter anak autistik

  • Kemahiran pertuturan dan komunikasi

Mengalami kesukaran untuk memahami percakapan, pertuturan dan meluahkan kehendak. Pertuturan mereka mungkin terhad kepada satu patah perkataan. Kebiasaannya mereka membuat bunyi atau perkataan yang tidak bermakna dan tidak boleh difahami (jargon). Kanak-kanak autistik juga boleh mengalami ekolalia iaitu, mengulangi perkataan yang dituturkan orang lain.

  • Kemahiran interaksi sosial

Tidak menunjukkan minat untuk berinteraksi dengan individu lain. Mereka sukar untuk bertentang mata dan tidak menyahut apabila dipanggil. Kanak-kanak autistik sukar bergaul dan sering bermain sendirian.

  • Tingkah laku dan emosi

Tingkah laku tidak wajar serta berulang seperti mengibas tangan dan melompat tanpa tujuan. Ada juga kanak-kanak autistik yang mencederakan diri sendiri dengan menggigit dan menghantuk kepala pada dinding. Mereka juga boleh menunjukkan emosi seperti ketawa, menangis dan menjerit seorang diri tanpa sebab.

  • Sensori atau sentuhan fizikal

Ada kanak-kanak autisme yang sensitif kepada bunyi bising, sentuhan dan rasa. Mereka juga mungkin mempunyai tabiat menjilat, memasukkan barang dalam mulut, menggigit atau mencium sesuatu. Kebanyakan kanak-kanak autistik tidak suka disentuh, dipegang atau dipeluk. Ada juga di antara mereka yang memilih makanan kerana masalah sensori badan dan bahagian mulut.

  • Kemahiran kognitif

Kanak-kanak autistik sering dikaitkan dengan perkembangan kognitif yang lewat berbanding kanak-kanak seusianya. Kebanyakannya mempunyai tahap IQ yang lebih rendah berbanding kanak-kanak normal. Hal ini menyebabkan terdapat kanak-kanak autistik yang sukar memahami konsep tertentu terutamanya konsep abstrak seperti emosi.

  • Kemahiran bermain

Tidak memahami konsep bermain secara betul. Mereka sering membaling mainan, memasukkan mainan ke dalam mulut dan kadang-kala merosakkannya. Mereka mempunyai minat yang terhad kepada alat mainan dan sering bermain dengan mainan yang sama berulang kali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *