‘Saya pun kena tipu’

USTAZAH berusia 48 tahun yang didakwa memperdaya 25 mangsa di Kedah dengan menawarkan pakej umrah menafikan perbuatan itu sebaliknya dirinya turut menjadi mangsa seorang lagi wanita menetap di Makkah yang dipertanggungjawab menguruskan pakej itu.

Dia yang enggan dikenali berkata, kejadian ini kali pertama berlaku sejak menjadi ketua rombongan jemaah umrah dua tahun lalu dan tiada niat langsung untuk menipu mangsa.

Menurutnya, sebelum ini, dia berurusan dengan agensi pelancongan lain yang menawarkan pakej umrah dan tidak menghadapi masalah seperti ini.

“Bagaimanapun ahli rombongan saya terdiri mereka yang sudah berusia mengeluh kerana perlu transit sebelum ke Makkah dan mahu penerbangan terus ke tanah suci.

“Jadi tahun ini saya cuba memenuhi permintaan mereka sebelum seorang wanita bergelar ustazah yang tinggal di Makkah menawarkan pakej umrah menerusi penerbangan terus,” katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) di Simpang Kuala, Alor Setar, hari ini.

Katanya, dia sudah mengenali wanita itu sebelum ini kemudian bersetuju menggunakan perkhidmatannya yang menguruskan soal pengangkutan, makan dan tempat tinggal manakala visa diserahkan kepada agensi pelancongan lain di sini.

“Selain itu, tiket penerbangan pula diuruskan seorang ustaz yang juga kenalan wanita terbabit yang menguruskan agensi pelancongan di Kuala Lumpur.

“Malah saya ada bukti penyerahan wang mereka (mangsa) kepada wanita terbabit sebanyak RM118,000 melalui transaksi bank,” katanya.

Dia tidak menyangka perkara itu terjadi selepas wanita terbabit memberi pelbagai alasan sehingga kini.

“Saya juga sudah membuat pertemuan dengan semua 25 orang yang diperdaya untuk menjelaskan keadaan sebenar semalam (kelmarin) dan mereka faham malah sepakat ingin wanita terbabit memulangkan semula wang mereka.

“Saya juga berharap wanita terbabit memulangkan semula wang itu kerana tidak sangka niat baik saya membantu orang mengerjakan umrah terjadi seperti ini,” katanya.

Mangsa, Dzulkifli Abdullah, 51, berkata, selepas mendapat penerangan daripada ustazah itu, dia memahami masalah yang berlaku sebenarnya.

“Kami sepakat tidak ingin meneruskan pakej umrah ini selepas mengeluarkan belanja RM7,100 setiap seorang dan berharap wanita terbabit memulangkan semula wang kami,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha CAKE Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan maklumat lebih lanjut untuk membantu semua mangsa pakej umrah berkenaan.

“Kita juga sudah mendapat penerangan lanjut daripada ustazah berkenaan yang turut menjadi mangsa dan jumlah mereka yang tampil membuat aduan bertambah 15 orang berbanding 10 orang sebelum ini,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan 10 mangsa mendakwa tertipu dengan pakej umrah membabitkan kerugian RM71,000.

Mereka sepatutnya mengerjakan umrah pada 6 Disember lalu namun ditunda dengan alasan sama kerana tiket penerbangan tiada dan dijanjikan penerbangan seterusnya pada 9 Disember dan terakhir Ahad lalu.

 

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *