Jadi Hamba Seks Penculik

DICULIK, kurung dan dirogol. Itu tragedi hitam menimpa seorang remaja perempuan sejak seminggu lalu selepas menjadi mangsa penculikan enam lelaki.

Bagaimanapun penderitaan mangsa berusia 17 tahun itu berakhir apabila pasukan khas anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menyerbu sebuah rumah di Kuala Sungai Yan, Yan, 6 pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian culik dan kurungan itu pada Isnin lalu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, pasukan khas D9 bertindak mengesan suspek sebelum menyerbu kediaman itu hari ini dan menahan enam lelaki termasuk suspek utama berusia 20 hingga 50-an.

“Mangsa berjaya diselamatkan selepas dikurung di sebuah stor di rumah itu selama seminggu malah hasil temubual dengan remaja terbabit, dia turut memberitahu dirogol beberapa kali oleh suspek utama.

“Suspek utama berusia 50-an memiliki 33 rekod jenayah lampau dan orang dikehendaki bagi kes samun, kurungan salah, dadah, memiliki senjata berbahaya dan ugutan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas barang disyaki hasil samun dan curi iaitu dua motosikal, dua Proton Perdana dan BMW, topi keledar pelbagai jenis, telefon bimbit, peralatan televisyen, monitor dan beberapa unit pembesar suara.

“Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan 376 akta sama bagi membantu siasatan,” katanya.

 

Sumber: HarianMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *