Penjara 13,275 tahun

Mahkamah jenayah di Thailand semalam menjatuhkan hukuman penjara 13,275 tahun terhadap seorang lelaki kerana skim piramid kendaliannya yang menipu 2,653 mangsa membabitkan kerugian 574 juta baht (RM71.6 juta).

Phudit Kittitradilok, 34, bagaimanapun mungkin hanya menjalani 20 tahun penjara memandangkan had tempoh hukuman itu ditetapkan Kanun Keseksaan Thailand bagi semua kesalahan yang membawa hukuman penjara tiga hingga 10 tahun, tidak kira berapa banyak tuduhan dikenakan terhadap seorang tertuduh.

Menurut pendakwa, dari 1 Ogos 2015 hingga 1 September 2016, Phudit, rakan subahat yang masih belum dikesan dan dua syarikatnya – The System Plug serta Play and Innovision Holding – menganjurkan seminar untuk menjemput orang ramai melabur dalam apa didakwa mereka perniagaan membabitkan penjagaan kecantikan, kereta terpakai, eksport, pembangunan hartanah serta pertukaran asing.

Mereka menawarkan pulangan satu peratus setiap minggu untuk pelabur, selain wang pelaburan baru sebanyak lima peratus untuk mereka yang berjaya merekrut anggota baru.

Phudit ditahan pada Ogos lalu tetapi tidak dibenarkan jaminan.

Mahkamah mendapati Phudit melakukan 2,653 tuduhan menipu dan memerintahkannya dipenjara lima tahun bagi setiap tuduhan terhadapnya.

Selain itu, dia dipenjara 10 tahun kerana mengubah wang secara haram.

Syarikatnya masing-masing didenda 664 juta baht dan diarahkan membayar balik 574 juta baht kepada 2,653 mangsanya, dengan tambahan faedah tahunan 7.5 peratus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *